Saturday, July 3, 2010

Kenapa Tidak Bahasa Malaysia?

Semalam saya sempat singgah ke MPH Subang Parade yang pada pendapat saya jauh lebih mantap dari Popular Bookstore, Empire. Perbandingan dibuat kerana walaupun saya sudah berpindah ke Shah Alam (kembali ke pangkal jalan, wahai anak Melayu:p), kawasan Subang tetap menjadi pujaan hati.

Kalau hendak diikutkan, pada pandangan subjektif saya, yang terbaik dan paling memenuhi cita rasa selama ini adalah Kinokuniya di KLCC. Rupa-rupanya, tidak semua kedai buku sama. Dari segi koleksi yang dibawa, dan cara penyusunan, masing-masing memberi impak berbeza kepada pengalaman membelek buku.

Tetapi tujuan saya menulis coretan ini bukanlah untuk menceritakan tentang kedai buku, tetapi kebangkitan penulisan dalam Bahasa Malaysia. Saya terkejut melihat koleksi buku-buku Bahasa Malaysia kian bertambah di MPH Subang Parade. Kalau dulu buku Bahasa lebih menjurus ke arah novel jiwang karat yang memenuhi ketegangan seksual terbuku dalam jiwa anak-anak Melayu, kini semakin banyak buku praktikal seperti buku motivasi dan buku perniagaan yang diolah sendiri atau diterjemahkan dari teks Bahasa Inggeris.

Saya teringat lagi perbualan pasca makan malam di Apartment KLCC beberapa tahun yang lalu di mana dalam keghairahan penyokong Pakatan Rakyat berseloroh, dia mempertikaikan kepentingan Bahasa Malaysia. Beliau dengan yakin menyatakan bahawa "BM is dead". Jelas sekali apa yang berlaku sekarang adalah sebaliknya. Dari buku ke majalah, dari blog ke laman web, dari rancangan TV ke muzik, Bahasa Malaysia semakin banyak digunakan.

Saya sering berpendapat bahawa Bahasa mencerminkan bangsa, dan Bahasa tidak membuktikan kebijaksanaan ataupun kebolehan. Malangnya mentaliti masyarakat Malaysia adalah untuk mengagungkan bahasa asing, terutamanya Bahasa Inggeris, sehinggakan pendapat dari tukang cat rumah boleh dianggap "bijak" hanya kerana beliau seorang Inggeris yang bercakap Bahasa Inggeris dengan loghat British.

Saya lihat bangsa Jepun, bangsa Korea, bangsa Taiwan, bangsa German tetap maju dengan kebolehan teknologi dan inovasi walaupun majoriti rakyatnya menggunakan bahasa kebangsaan. Pada saya, adalah lebih penting untuk melihat kepada pembentukan minda kreatif, inovatif dan berani mencuba daripada meletakkan kepentingan 100% kepada kebolehan berbahasa Inggeris.

Masalah lebih meruncing apabila rakyat Malaysia sendiri tidak menganggap bahawa Bahasa Malaysia adalah bahasa kebangsaan. Dan bila dikatakan Bahasa mencerminkan bangsa, ramai yang meletakkan Bahasa Malaysia sebagai Bahasa untuk bangsa Melayu sahaja.

Situasi ini jelas berbeza dari keadaan di Indonesia. Saya difahamkan, walaupun sebenarnya Bahasa Jawa lebih banyak digunakan di seluruh Indonesia, kerajaan telah mengambil keputusan nekad meletakkan Bahasa Indonesia yang diambil dari dialek Melayu Riau. Oleh itu, walaupun Indonesia mempunyai lebih 300 bahasa berbeza, kebanyakan dari rakyatnya menerima dan menggunakan Bahasa Indonesia sebagai perantaraan harian. Kerana itulah orang gaji anda boleh memahami sedikit sebanyak Bahasa Malaysia walaupun mereka dari kampung Jawa. Saya seronok melihat pelajar-pelajar Indonesia yang menuntut di kolej swasta berborak dalam Bahasa Indonesia, walaupun mereka keturunan Cina.

Integrasi inilah yang dicari-cari dalam usaha memantapkan perpaduan rakyat Malaysia. Malangnya, jika rakyat, yang sibuk mahu digelar Bangsa Malaysia, masih ego dan tidak mahu melepaskan mentaliti mendahulukan budaya kaum masing-masing dalam sistem persekolahan nasional, kita tidak akan melihat penerimaan Bahasa Malaysia sebagai bahasa yang mengikat diri kita sebagai satu jiwa dalam satu Malaysia.

Nota: Saya menggunakan Bahasa Malaysia sebab saya rasa itu yang kita harus usahakan. Bukan Bahasa Melayu yang dari bahasa sendiri telah menampakkan sikap eksklusif dan bukan inklusif. Saya juga menulis dalam Bahasa Malaysia sekali sekala untuk membuktikan bahawa kebolehan berbahasa Malaysia tidak melemahkan kebolehan berbahasa asing dan sebaliknya.

Tahukah anda bahawa MPH ditubuhkan oleh salah seorang tokoh Methodist awal di Tanah Melayu. Perubahan nama termasuk Methodist Publishing House yang kemudian menjadi Malaya Publishing House sebelum bertukar ke Malaysia Publishing House. Dalam sejarah yang sudah lebih 120 tahun, MPH tidak pernah dimiliki 100% oleh rakyat Malaysia sehingga Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary membeli MPH pada tahun 2002.

1 comment:

Rakyat Malaysia said...

usaha memantapkan perpaduan rakyat hanya dapat dicapai sekiranya rakyat Malaysia didahulukan, tanpa mengira bangsa dan agama. tiada gunanya kita mempertikaikan kepentingan bahasa melayu sekiranya aspek aspek lain diabaikan.

bahasa melayu pernah menjadi lingua franca di rantau ini pada zaman keagungan kesultanan Melaka bukan kerana hak hak istimewa sesetengah bangsa(yang sering diselewengkan sesetengah pihak) tetapi kerana kebolehan rakyatnya.

saya pernah menjadi pemidato piala diraja (dalam bahasa melayu) seketika dahulu kerana saya percaya (mungkin kerana umur masih hijau)akan hujah hujah saudara. tetapi hari ini saya telah mengabaikan bahasa melayu kerana masalah praktikal. bahasa mencerminkan bangsa dan kerana itulah saya berpendapat masalah yang disebutkan saudara muncul. jika hari ini saudara hanya dapat melihat buku buku motivasi dalam bahasa melayu, cubalah fikir sekian lama setelah memperadabkan bahasa ini (lebih 30 tahun), apakah ada jurnal jurnal sains terkenal dalam bahasa melayu (yang mencerminkan intelek dan kematangan bangsanya?) dan secara adilnya ini harus dibandingkan dengan jurnal jurnal bahasa asing.

maka persoalan saudara dapat diselesaikan sekiranya bangsa melayu berusaha memajukan malaysia. dan bangsa majoriti ini seharusnya membantu kaum kaum minoriti lain agar dapat bersaing dengan jaya di arena antarabangsa. hakikatnya, yang sebaliknya berlaku bukan kerana mana mana bangsa lemah, tetapi kerana muslihat sesetengah pihak yang cuba mengaburi mata rakyat

sekiranya saudara benar benar ikhlas dalam pertikaian ini (dan bukannya untuk kepentingan politik sendiri) maka saya berpendapat saudara seharusnya memperjuangkan dasar meritokrasi. hanya dengan cara inilah malaysia mampu meneroka dunia sekali lagi dan memaparkan kebolehannya. pada masa itulah lingua franca ini dapat digunakan bukan sahaja di malaysia tetapi di seluruh pelosok dunia

tepuk dada tanya selera

p/s: i hope you can understand my rusted malay dude. ive tried my best, ive got no regret...lol