Monday, July 11, 2011

Selepas semuanya terjadi...

Ketika aku (terbaca tweet mengatakan penggunaan "aku" adalah manja dan mesra bagi keturunan Jawa. Walaupun aku bukan Jawa, aku rasa saja-saja nak merasa jadi Khir Toyo) menulis coretan ini, lebih kurang genap sudah 48 jam perhimpunan Bersih 2.0 bermula di ibu kota Kuala Lumpur. Aku membaca begitu banyak reaksi, "laporan" dan "analisa" daripada pengkritik tepi jalan, atas jalan, malah yang sesat jalan pun ramai.

Hah! Namanya bukan aku kalau tidak masuk campur. Dari dulu lagi kerja aku masuk campur, macam aku ni pandai, walaupun dulu waktu Tingkatan 3, Ustazah aku sumpah aku takkan lulus PMR. Nasib baik sumpah Ustazah itu jadi terbalik (mungkin ini dipanggil "reverse doa" ala-ala "reverse psychology"), dan aku lulus dengan terlebih cemerlang (harus selit bagi nampak kredibiliti 'cendekiawan').

Jadi sebagai melaksanakan keperluan genetik aku untuk masuk campur dan buat-buat pandai, ini sedikit sebanyak rumusan aku pasal perhimpunan Bersih 2.0 (aku masih rasa Bersih Durian lebih mengikut keperluan zaman sekarang...) :

1. Seperti yang aku pernah tulis sebelum ini, aku tidak pernah hendak menentang "hak" rakyat untuk berkumpul dan bersuara, sebab aku terfikir kalau satu hari ada benda yang aku pun nak jerit di tengah jalan, aku nak ada kebebasan tersebut.

2. Aku setuju sebenarnya bahawa ada pelbagai perkara yang boleh diperbetulkan oleh SPR dan Kerajaan Malaysia (tidak kira parti apa pun). Sebagai contoh, bukan susah nak memperkenalkan dakwat kekal. Susah-susah fikir hendak buat undian secara dalam talian ("online"), lagi mahal. Dakwat bukannya mahal, mungkin lebih sedikit sahaja dari kos minyak jet peribadi pergi membeli-belah ke Amerika.

3. Kalau hendak dibawa berbincang tentang reformasi (ayat ini jangan disalah anggap dan dibuang dalam kamus pro-kerajaan, sebab maksudnya indah) institusi kerajaan memang tidak cukup sehari semalam. Oleh itu, skop coretan kali ini adalah pada perhimpunan Bersih 2.0 dan objektif mereka.

4. Cuma aku terfikir, walaupun kali ini niatnya dikatakan murni (sabar, sabar...), adakah satu hari rakyat Malaysia yang pro-demonstrasi akan menyokong kalau ada kumpulan NGO PERKASA hendak buat demonstrasi menuntut agar bangsa lain ditindas? Bayangkan satu hari elemen rasis dalam UMNO menular (cuba fikir kenapa...) dan mereka bertekad hendak berhimpun bersama PERKASA di tengah kota. Perhimpunan aman kata mereka. Adakah penyokong demonstrasi Bersih akan turut sama menyokong perhimpunan ini? Adakah pejuang kebebasan akan mengeluarkan syair, puisi menyokong perhimpunan ini? Orang kata kebebasan bersuara dan berkumpul itu satu hak, maka hak itu tidak harus ditindas walaupun niatnya tidak murni, sebab siapalah anda untuk menilai kemurnian tindakan itu?

5. Ada yang akan membalas, itu lain, ini lain. Aku setuju bahawa senario yang digambarkan berbeza dari segi elemen perubahan yang ingin diperkenalkan tetapi cara pendekatan adalah sama. Elemen rasis dalam PERKASA ingin menggesa kerajaan mengubah Undang-Undang agar hak bangsa lain dihapuskan, mereka tidak pernah membangkitkan isu ini di dalam parlimen, dan walaupun mempunyai ramai penyokong melalui UMNO di Parlimen, tidak pernah cuba untuk membawa usul undang-undang ke Parlimen. Mereka kata isu ini adalah untuk kebaikan semua, tanpa mengira parti, tetapi mereka tidak pernah berhubung dengan wakil rakyat parti-parti lain untuk mendapatkan sokongan. Masih lain?

6. Aku terdetik untuk memberi komen balas apabila ada yang menyatakan "Inikah polis, memukul rakyat sendiri?". Setahu aku, polis memang tugas dan bidang kuasa ke atas rakyat dan penduduk dalam negara itu sahaja, selagi mana rakyat dan penduduk itu melanggar undang-undang. Aku rasa polis jadi gila kalau kena tangkap orang di Thailand atau Singapura sahaja. Sebenarnya mungkin yang mengutuk itu keliru. Dia sebenarnya marah kenapa diharamkan perhimpunan tersebut, bukannya marah polis. Sebab kalau tidak keliru pasti sedar kalau perhimpunan itu dikatakan haram dan tidak sah, maka polis boleh mengambil tindakan. Sesiapa yang terlibat harus bersedia menanggung akibatnya.

7. Senario ini lebih kurang sama macam aku di Universiti dulu. Aku tidak faham kenapa aku kena saman oleh Pak Guard sebab tidak pakai tali leher pada hari Isnin walaupun jelas aku tanpa tali leher lebih kemas (dan dipercayai lebih kacak) dari sesetengah budak bertali leher tetapi selekeh. Maknanya aku mempertikaikan logik peraturan yang lebih fokus kepada pemakaian tali leher daripada objektif iaitu kelihatan kemas dan segak. Tetapi aku tidak melenting Pak Guard sebab menahan dan menyaman, kerana memang jelas dikatakan hari Isnin harus bertali leher. Aku marah Hal Ehwal Pelajar.

8. Pada hari Jumaat dan Sabtu, aku memang tergerak untuk pro-Bersih. Sebab membaca tweet-tweet indah-indah belaka dari mereka yang berada di sana. Kemudian aku melihat video-video yang dirakamkan. Dan mendengar laporan-laporan berita. Dan membaca lagi tweet-tweet indah. Objektifnya adalah untuk melihat sebaik mungkin senario yang berlaku.

9. Aku punya rumusan amat mudah - kita hanya nampak apa yang kita nak nampak. Macam aku ni tidak mahu nampak apa-apa (harap-harapnya). Orang Bersih cakap semuanya baik-baik belaka, dan aku tahu sebab ramai kawan-kawan aku yang ada di sana memang orang yang baik-baik belaka (serius ni). Aku rasa orang yang baik-baik belaka ni majoritinya melalui pengalaman yang selamat secara amnya.

10. Tetapi jelas juga melalui video-video bahawa ada segelintir dari barisan hadapan yang tidak bersurai walaupun diarahkan dengan jelas oleh polis. Laungan takbir jelas kedengaran (tetapi tidak di-tweet oleh @bersih2 nampaknya) di beberapa video. Laungan "reformasi" juga banyak kedengaran (pun tidak di-tweet). Ada juga video di mana terdapat serangan balas terhadap polis. Setahu aku kita tidak boleh pukul polis, melainkan main "police & thief", itu pun bahaya sebab takut budak menangis.

11. Aku jadi risau sebab kalau dikatakan "media bias" wujud di arus perdana, maka adakah terdapat bias di arus alternatif? Adakah benar perhimpunan ini 100% aman atau ada elemen/anasir ekstremis yang bersedia membuat kacau bilau? Bukan tugas aku untuk spekulasi. Itu kerja polis.

12. Berbalik kepada isu pokoknya - apakah kesan daripada Bersih 2.0?

13. Aku cakap dah sebelum ini, pihak kerajaan seharusnya lebih menangani isu ini dengan kemas dan teratur. Tunjukkan kepada rakyat bahawa mereka okay dengan Bersih, tetapi tidak okay dengan geng-geng politikus yang mengelilingi Bersih. Tetapi Najib dan penasihat-penasihat bijak pandai dari Universiti luar negara jelas ada strategi sendiri. Mungkin strategi mereka hendak lebih ramai orang tidak suka Barisan, macam "double reverse psychology". Ini cakap boleh kumpul tetapi tidak sediakan tempat untuk berkumpul.

14. Tetapi aku juga nak menasihati kawan-kawan yang taksub dengan arus perubahan ini bahawa kadang-kadang dunia ini lebih kompleks daripada apa yang kita sangkakan. Objektif parti politik, secara am-nya, adalah untuk menang. Jangan kita sebagai orang yang boleh berfikir termakan sekadar membaca berita kawan-kawan sahaja. Korek juga laporan dari lawan. Mungkin banyak yang kita boleh nampak dan belajar.

15. Aku sebenarnya setuju sekali sekala kerajaan dan rakyat kena dikejutkan melalui insiden-insiden seperti ini sebagai peringatan. Walaubagaimanapun, aku lebih berharap agar perhimpunan seperti ini tidak dibuat sekadar untuk kejutan sahaja. Kalau nak kezutan, panggil je Aznil Nawawi. Aku harap Bersih 2.0 dapat teruskan usaha reformasi mereka melalui saluran lain seperti di Parlimen, di media, dengan pendidikan kepada generasi muda dan tua. Tetapi aku dapat rasa Bersih ini akan muncul semula hanya apabila hendak menghampiri PRU seterusnya. Harap-harap, tekaan aku ini salah, sebab aku kesian tengok kawan-kawan yang dah melakukan macam-macam untuk perhimpunan ini tetapi perjuangan mereka hanya untuk kepentingan politik sahaja.

Yang penting lawan tetap lawan, tetapi kawan masih kawan.

No comments: