Wednesday, September 8, 2010

Bila Raya...

10. Semua terkejut jalan sesak, sedangkan dari aku celik mata, balik raya memang jarang-jarang perjalanan lancar. Malah, aku rasa, sesak-sesak di jalan raya dan terutamanya perhentian R & R adalah sebahagian daripada keseronokan beraya. Malangnya, keseronokan ini tidak lama sekiranya aku nak ke tandas tetapi terpaksa menahan setelah melihat kejijikan yang dibuat manusia tidak berakal.

9. Kereta besar-besar mula menyinggah ke kawasan kampung. Dulu waktu rajin balik ke kawasan kampung Bukit Mertajam, berduyun-duyun Mercedez dan BMW di jalan. Peliknya, benda sama tidak pula berlaku di kampung aku yang bukan kampung sangat yakni Gelugor, Penang. Adakah ini bermakna hanya "migrant" dari kawasan kampung yang lebih berjaya bila pindah ke bandar?

8. Semua surat lambat sampai, terutamanya majalah-majalah. Pelik, sebab aku rasa dulu lagi banyak surat orang hantar. Mungkin penjimatan masa daripada pengurangan orang menghantar kad raya tiada kesan apabila produktiviti setiap pekerja POS generasi baru semakin merudum (berbanding pekerja-pekerja dulu). Maklumlah, ramai sekarang tiada motivasi dan lebih sibuk mencari awek untuk membatalkan puasa (bukan pekerja POS sahaja, tetapi Melayu generasi baru secara am-nya).

Surat dah digantikan....dengan Facebook! E-Mel pun tak sempat nak jadi medium yang popular. Buat apa penat-penat masukkan alamat e-mel semua kawan dan kenalan apabila anda boleh "tag" saja gambar kad raya di Facebook? Yang naik menyampah adalah komen-komen memanjang selepas itu. Kalau komen beramai-ramai, aku boleh terima. Kadang-kadang hanya 2 orang saja komen, tapi jadi macam "chatting". Memang tak boleh belah.

Mula lah orang hantar mesej-mesej Hari Raya menerusi SMS. Aku terima sahaja, tapi tolonglah...sangat klise mesej-mesej berbentuk keinsafan. Aku selalu tertanya-tanya apakah motif mesej panjang-panjang ini. Adakah SMS sebegini akan mengubah pendirian individu yang tak tergerak walaupun disogok khutbah Jumaat, tazkirah terawikh, rancangan agama dan mesej-mesej keagamaan di media massa?

Tetapi aku suka mesej Hari Raya yang kelakar-kelakar. Aku hendak mengucapkan terima kasih bagi mereka yang rajin merangka mesej SMS Raya yang unik dan kelakar. Aku pun cuba jugak, cuma sindiran aku kadang-kadang buat orang terasa. Sebagai contoh: "Isap rokok batal hukumnya, Wajib x buat terawikh beria, Kalau macam ni waktu berpuasa, Baik xyah sambut hari raya...".

7. Pengedar mercun dan bunga api popular. Aku sendiri belanja RM500 tahun ini membeli "perkakas hiburan". Mercun sekarang dah tak macam dulu. Budak-budak sekarang pun dah tak macam dulu. Dalam zaman permainan komputer seperti Halo, setakat bunga api cap kucing memang budak-budak tak layan. Sekarang minimum Thunder Clap. Malah, aku tengok katalog "dealer", macam-macam jenis baru diperkenalkan. Ada nama "Osama" - amat sesuai untuk pasukan ekstremis yang semakin menjadi-jadi di Malaysia (asyik bersyarah dan mengata orang lain aja kerja).

Aku rasa lebih baik mercun dan bunga api dijadikan barang kawalan daripada diharamkan. Bila diharamkan tetapi tidak begitu diharamkan, apa bezanya? Baik dibenarkan tetapi harus berdaftar dan mengikut spesifikasi tertentu. Dapat pula cukai tambahan. Ada QC bunga api. Hehehehe...idea bodoh tatkala nak raya.



6. Orang Islam jadi teramat malas. Aku ingat lagi di USJ, Subang, ada kedai kegemaran masakan Kelantan. Dia cuti sebulan sebelum Raya, dan sebulan SELEPAS Raya! Dua bulan bercuti. Contoh macam ini banyak aku nampak dalam perniagaan orang Melayu. Sudahlah kita kebelakang, kemudian kita harus mengejar masa sebab tanggungjawab agama banyak (seperti solat Jumaat yang menghilangkan 2 jam dari produktiviti pekerja. Masalahnya, adakah kita ganti 2 jam ini dengan balik pukul 7? Tidak jugak!), lepas tuh nak jadi pemalas pula. Kononnya sibuk beraya. Jangan tipu. Duduk kampung sekarang goyang kaki, makan banyak.

Sebab itu, dulu waktu aku kerja makan gaji, aku tak suka cuti panjang untuk Raya. Bukan sebab aku ni terlebih rajin. Sebab aku perasan, kerja memang langsung tidak ada sekitar musim perayaan. Masuklah ke pejabat, duduk bukak komputer, keluar makan lama-lama, pergi membeli belah (waktu aku di Maxis) dan balik awal. Aku rasa orang yang tidak balik kampung, dan hanya nak duduk rumah sahaja, lebih baik simpan cuti tu. Pergi je pejabat. Macam cuti juga!

5. Jualan murah berlambak. Tetapi aku macam ada syak wasangka harga barang-barang telah dinaikkan untuk musim perayaan kemudian diberi diskaun. Walau apapun, waktu inilah orang semua keluar membeli baju melayu, samping, tempah baju kurung, dan beli songkok. Mesti ramai yang tak tahu bahawa sebelum Raya adalah masa paling lumayan bagi penjual kereta sebab ramai orang kita nak bawak kereta baru untuk Raya. Bukan itu sahaja, perabot baru, karpet baru, malah sekarang ni mungkin muka baru, semuanya menjadi pilihan!

Semua gedung beli-belah memainkan lagu-lagu Raya dan tema Raya. Eih, bukan gedung beli-belah sahaja - pusat hiburan KTV, kelab malam, pusat urut pun pandai buat mood raya (aku dengar cerita laaa...). Inilah baru dinamakan 1Malaysia. Cuma peliknya, aku rasa diorang lebih beria-ria sambut Krismas dan Gong Xi Fa Cai dari Hari Raya. Kalau 2 perayaan itu, kadang-kadang lebih sebulan sebelum dah mula main lagu Krismas. Mungkinkah sebab 2 perayaan itu, terutamanya Krismas, lebih santai dan meriah?

4. Mungkin juga, sebab dalam nak dekat-dekat Raya ni banyak la pulak stesen radio mainkan lagu Raya. Lagu Raya memang klasik tapi tahulah, sedih semacam kebanyakannya. Bukan aku tak suka, tapi sampai ke hari ini asyik-asyik 3-4 set lagu sahaja yang boleh diterima pakai umum. Cubaan terbaru banyak kecundang, walaupun letak 2-3 orang sekali nyanyi satu lagu (perlukah Radio DJ pun nak jadi penyanyi?).

Mungkin juga lagu Raya ini kena ikut formula tertentu - beat sama ada perlahan atau rancak tetapi tidak boleh ada elemen teknologi (kalau rancak kena ikut rentak kompang/gendang), lirik ceria nak mampus atau lirik nak mampus (tidak boleh di antara), dan kena ada sedikit seruling/tabla/ghazal. Bunkface mungkin boleh cuba buat lagu raya, tetapi aku rasa Nassier Wahab pasti lebih berjaya.

3. Bukan lagu Raya sahaja ada formula. Cerita Raya lagilah klise. Setiap tahun stesen TV menjanjikan rancangan menarik untuk seisi keluarga. Wajib kena ada katalog cerita Melayu 2-3 tahun lapuk. Aku lagi suka kalau dia campur dengan cerita klasik macam Mira Edora (oh Julia Rais). Tetapi aku tahu stesen TV dah ada formula kena tunjuk cerita David Teoh satu, cerita Senario satu. Malah tahun ini, aku tengok Astro promosi "marathon" Senario. Yang tengah "hot" sekarang juga cerita rempit motor dan kereta. Baguslah, beri pendedahan awal kepada budak-budak Melayu tentang masa depan mereka. Aku suka.

Juga wajib dalam pelan siaran adalah cerita Bollywood. Ini adalah satu fakta menarik tentang orang Melayu. Mereka gemar menonton filem Bollywood, sehinggakan di Hari Raya, mereka lebih sanggup membuat perancangan beraya sekitar cerita Bollywood. Lebih banyak menari dan menyanyi, lebih banyak hero mati hidup kembali, lebih beria orang Melayu nak tengok cerita Bollywood. Pelik juga, sebab makcik-makcik ini jugalah yang beria-ria anti-India bila cerita tentang hak Melayu.

Tidak lupa juga kepada rancangan muzikal yang memang jadi teramat meloyakan. Dulu waktu aku kecik-kecik, memang satu family di Gelugor akan menonton rancangan muzikal pada malam Raya dan juga konsert-konsert selepas Raya. Itu sebab aku ni banyak katalog lagu Melayu. Tetapi aku perasan generasi baru macam adik aku memang tak layan muzikal-muzikal macam ini. Aku pun dah naik bosan. Aku rasa kalau amik 10 tahun lepas M. Nasir nyanyi lagu "Satu Hari di Hari Raya", mainkan tahun ini, tiada sesiapa pun akan kisah. Sekarang ni senang. Campak je budak-budak rancangan realiti TV atas pentas buat lawak dan menyanyi. Masalahnya, orang tak kenal pun...(tidak sempat jadi terkenal).

Akhir sekali, dan ini "favourite" aku, drama Raya. Konsep drama Raya tidak pernah berubah. Terbahagi kepada dua - Keinsafan atau Komedi. Malam Raya biasanya mesti ada cerita keinsafan. Pengarah popular untuk benda-benda sesak nafas sebegini adalah Rashid Sibir. Hah, yang terkenal dengan shot 5 minit mak tengah menangis di dapur, tapi konon artistik sebab ambil dari angle bawah dagu. Pelakon paling popular sudah tentulah Fauziah Nawi. Sama ada anak dia mati, suami dia mati, atau dia sendiri mati - yang penting mesti ada orang mati dalam drama keinsafan.

2. Dan yang paling wajib tatkala musim Raya sudah tentulah iklan Raya. Dulu, memang berbaloi syarikat gergasi berbelanja besar mengeluarkan wang menghasilkan mini-filem mengenai Hari Raya. Tetapi semenjak dua menjak, aku perasan banyak juga iklan yang dikitar semula. Adakah semenjak pemergian Yasmin Ahmad, sudah tiada lagi semangat menghasilkan iklan raya? Atau adakah sebab ramai dari kalangan "target demographics" dah menghabiskan masa melayan NCIS atau E!News sampai tiada penonton iklan raya?

Tahun ini iklan raya paling hot dan viral adalah iklan raya TV3. Aku rasa syarikat aku pun tak lama lagi nak buat iklan kontroversi macam TV3. Orang yang tak layan iklan Raya pun tengok. Orang bukan Islam pun lebih banyak menonton iklan ini dari orang Islam, aku rasalah. Ini menaikkan profil TV3. Mungkin 2 tahun lagi, syarikat aku nak buat iklan Raya tapi dilakonkan oleh pelakon Mak Salleh. Woooo...bayangkan muka cam Megan Fox kacau dodol, atau Scarlett Johansson ikat ketupat. Mesti famous.

Hah? Korang tak tahu pasal iklan TV3 penuh kontroversi itu? Alah, cari je rakan baik korang. Namanya Google. Cuba tanya. Pendapat aku senang - manusia akan nampak apa yang minda dia ingin nampak. Sebagai contoh, setiap hari aku tengok cermin aku nampak George Clooney.

1. Setiap Raya tidak lengkap tanpa...duit raya! Dengan duit raya, baju raya, kuih raya, kereta raya...tahun ini aku memang kena seluk ke dalam poket sedalam yang mungkin. Sekarang ni status sebagai boss membuatkan anak-anak buah aku (atau lebih tepat lagi, ibu bapa mereka) mengharapkan aku menyumbang duit raya macam Bill Gates. Aku pun suka kasi duit raya sebenarnya. Lagi banyak aku boleh kasi, maksudnya lagi bagus perniagaan aku kan? Tapi takut nanti bila aku takde duit, harapan duit raya sama macam zaman aku ada duit. Hmmm...ini motivasi untuk sentiasa banyak duit!

Aku nak tahu sama ada sesuai atau tidak duit raya melalui Maybank2u? Kenapa tidak sesuai? Tahun lepas aku kasi duit raya kat mak aku pakai Maybank2u, banyak pulak tuh, tapi dia merajuk cakap nak duit raya dalam sampul.

Apa-apapun aku nak ingatkan semua supaya berhati-hati bila berbelanja dan memandu di jalan raya. Selamat menyambut Hari Raya Aidilfitri.

No comments: